𝐀𝐓&𝐒 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐣𝐚𝐧𝐣𝐢𝐚𝐧 𝐏𝐚𝐣𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐁𝐚𝐠𝐢 𝐌𝐞𝐧𝐲𝐨𝐤𝐨𝐧𝐠 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐛𝐮𝐫𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐅𝐚𝐬𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐭𝐮𝐦𝐛𝐮𝐡𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐭𝐞𝐫𝐮𝐬𝐧𝐲𝐚 𝐝𝐢 𝐊𝐮𝐥𝐢𝐦 𝐇𝐢-𝐓𝐞𝐜𝐡 𝐏𝐚𝐫𝐤

𝟐𝟕 𝐉𝐮𝐥𝐚𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐊𝐇𝐓𝐏 𝐁𝐮𝐬𝐢𝐧𝐞𝐬𝐬 𝐂𝐞𝐧𝐭𝐫𝐞

Kulim Technology Park Corporation (KTPC) hari ini telah memeterai Perjanjian Pajakan Tanah bersama AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi Plot 9 seluas 12.77 ekar yang terletak di Zon Perindustrian Fasa 4A (IZP4A), Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kedudukan KHTP sebagai hab pelaburan berteknologi tinggi bertaraf global.
Perjanjian ini merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan strategik AT&S Malaysia bagi menyokong cadangan pelaburan bernilai antara €1.5 bilion hingga €2.0 bilion, selaras dengan peningkatan permintaan global terhadap teknologi semikonduktor termaju dan elektronik berprestasi tinggi.
Sejak memulakan operasinya di KHTP, AT&S Malaysia telah merealisasikan pelaburan bernilai RM8.5 bilion dengan lebih 3,000 tenaga kerja. Pembangunan semasa AT&S Malaysia dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasiliti pengeluaran generasi baharu disasarkan mula beroperasi menjelang akhir tahun 2027. Dalam jangka panjang, Plot 9 berada pada kedudukan strategik untuk menyokong fasa pembangunan infrastruktur seterusnya, memperkukuh kapasiti pembuatan teknologi tinggi serta menyokong penerapan teknologi masa hadapan di Kulim.
KTPC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan berterusan AT&S Malaysia untuk terus mengembangkan pelaburan di KHTP. Pelaburan ini mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap ekosistem KHTP yang kondusif, sekali gus memperkukuh peranan taman perindustrian ini sebagai pemacu utama agenda National Semiconductor Strategy (NSS) serta pembangunan ekonomi Negeri Kedah dan Malaysia.
Tahniah kepada AT&S Malaysia atas pencapaian ini. Semoga kerjasama strategik antara KTPC dan AT&S terus berkembang demi memacu pertumbuhan industri berteknologi tinggi negara.