Kulim Hi-Tech Park (KHTP) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi apabila menerima Anugerah Penarafan Perbandaran Pintar (Smart Township) Malaysia Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.
Anugerah tersebut diterima oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Sahil bin Zabidi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan. Pengiktirafan ini mencerminkan keupayaan Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC) selaku pemaju dan pengurus kawasan KHTP dalam menggabungkan pembangunan industri dengan agenda perbandaran pintar.
Keunikan KHTP melangkaui pelaburan industri. Berteraskan konsep kawasan perindustrian bersepadu, KHTP dibangunkan sebagai sebuah perbandaran yang menghubungkan industri dengan perniagaan, pendidikan, kediaman, rekreasi dan kemudahan sokongan untuk komuniti.
Ekosistem menyeluruh ini menjadikan KHTP destinasi untuk melabur, bekerja, belajar dan menjalani kehidupan. Bagi pelabur, ia menawarkan nilai tambah melalui persekitaran yang menyokong operasi perniagaan, pembangunan bakat serta kesejahteraan tenaga kerja bagi pertumbuhan jangka panjang.
Anugerah ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan KHTP untuk terus menawarkan persekitaran pelaburan yang pintar, mampan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Smart Nation 2040. Setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja KTPC, agensi dan rakan strategik yang bersama-sama menyumbang kepada kejayaan ini.
TAHNIAH KHTP!







