𝐌𝐚𝐣𝐥𝐢𝐬 𝐒𝐞𝐫𝐚𝐡𝐚𝐧 𝐊𝐮𝐧𝐜𝐢 𝐊𝐇𝐓𝐏 𝐓𝐕𝐄𝐓 𝐑𝐞𝐬𝐢𝐝𝐞𝐧𝐜𝐞

𝟑𝟎 𝐉𝐮𝐥𝐚𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐊𝐇𝐓𝐏 𝐓𝐕𝐄𝐓 𝐑𝐞𝐬𝐢𝐝𝐞𝐧𝐜𝐞

Kulim Technology Park Corporation (KTPC) hari ini secara rasminya menyerahkan kunci KHTP TVET Residence kepada Kulim Advanced Technologies (KTechno), simbolik bermulanya fasa pengoperasian kemudahan penginapan baharu yang menyokong pembangunan modal insan dan memenuhi keperluan tenaga kerja industri berteknologi tinggi di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
Kemuncak majlis menyaksikan YBhg. Dato’ Haji Mohd Sahil Bin Zabidi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTPC, menyerahkan replika kunci KHTP TVET Residence kepada Cik Aida Zainol Abidin, Pengarah Eksekutif KTechno merangkap Ketua Pegawai Operasi KTPC, sebagai simbolik penyerahan rasmi kemudahan tersebut. Majlis simbolik tersebut turut disaksikan oleh YBrs. Puan Sunita Abdul Aziz, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim (PBT TPHTK).
KHTP TVET Residence dibangunkan sebagai pelaburan strategik KTPC bagi menyediakan kemudahan penginapan yang lebih selesa, tersusun dan berpusat kepada para pelatih KHTP Skills Centre. Bangunan tiga tingkat ini menyediakan 79 unit penginapan yang mampu menempatkan sehingga 456 orang pelatih, selain tiga unit khas untuk warden atau kakitangan.
Sejak tahun 2015, KHTP Skills Centre telah melahirkan seramai 7,473 orang pelatih, sekali gus menunjukkan keperluan terhadap penyediaan fasiliti penginapan yang lebih komprehensif bagi menyokong pertumbuhan ekosistem latihan kemahiran di KHTP. Setiap unit kediaman turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk ruang belajar, loker peribadi, bilik air sendiri serta kemudahan dobi, selain fasiliti rekreasi untuk keselesaan penghuni.
KHTP TVET Residence telah memperoleh Certificate of Completion and Compliance (CCC) pada 20 Julai 2026 serta Pensijilan QLASSIC, membuktikan komitmen KTPC terhadap penyediaan infrastruktur berkualiti tinggi. Kemudahan ini diyakini dapat memperkukuh keupayaan KHTP Skills Centre dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.