|
 |
 |
 |
 |
 |
| NEWS HIGHLIGHTS |
 |
 |
R&D dan pemprosesan serbuk tantalum gred tinggi di KHTP |
Friday, November 03, 2006 |
 |
 |
 |
 |
 |
|
 |
 |
 |
Negara hasilkan tantalum gred tinggi
KEMUDAHAN penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemprosesan serbuk tantalum gred tinggi milik Metalysis Malaysia Sdn Bhd di Kulim, Kedah dijangka mengeluarkan 100 tan bahan itu setahun, merangkumi kira-kira 10 peratus daripada permintaannya di seluruh dunia.
Pembukaan kemudahan yang dibangunkan di bawah projek timbal balas daripada pembelian enjin Rolls-Royce Trent 900 oleh kerajaan bagi digunakan pesawat Airbus A380 itu bakal meletakkan Malaysia dalam peta industri pengeluaran tantalum dunia yang ketika ini dianggarkan bernilai RM3 bilion setahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan kemudahan itu secara jarak jauh di Putrajaya semalam berkata, berkata pembukaannya adalah satu peristiwa penting dalam kesungguhan kerajaan meneroka sektor berteknologi tinggi.
“Usaha menguasai teknologi dianggap suatu perlumbaan tetap dan berterusan. Kita sedar untuk berada di hadapan dalam perlumbaan ini dan memastikan negara ini menjadi destinasi pelaburan peserta industri, kita mesti bersedia meneroka bidang teknologi nilai ditambah yang baru dengan pulangan tinggi,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis; Ketua Eksekutif Roll-Royce Plc, Sir John Rose dan Ketua Eksekutif Metalysis Ltd, Dr Graham Cooley.
Kemudahan R&D serta pemprosesan tantalum itu dijadual memulakan operasinya September tahun depan, selepas pembangunan fasa pertama membabitkan kegiatan R&D dan persiapan operasi pengeluarannya selesai.
Tantalum adalah sejenis bahan yang digunakan dalam penghasilan komponen elektronik terutama telefon mudah alih, pembantu peribadi digital (PDA), komputer peribadi dan komponen elektronik automotif.
Najib berkata, Rolls-Royce adalah peneraju dalam teknologi penerbangan dan kerjasama dengan syarikat itu membolehkan Malaysia meningkatkan keupayaan dalam bidang berteknologi tinggi itu.
“Pemindahan teknologi dalam projek ini amat penting kerana ia membabitkan penyertaan saintis tempatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sirim Bhd,” katanya sambil menambah beliau yakin kerjasama itu dapat meningkatkan lagi kepakaran saintis tempatan.
Najib berkata, projek Metalysis Malaysia membolehkan penemuan baru dalam pengeluaran tantalum termasuk peluang mengkomersilkan produk itu.
“Kita berharap lebih banyak syarikat asing akan melabur di Malaysia dengan mengambil kesempatan daripada kos yang kompetitif dan kemahiran tempatan, selain menyumbang kepada keupayaan teknologi di negara ini,” katanya.
Najib berkata, Malaysia akan berusaha menguasai bidang sains dan teknologi (S&T) dan berbangga kerana syarikat asing yakin dan percaya dengan keupayaan negara ini dalam penerokaan teknologi baru.
Sementara itu, Jamaludin berkata, ketika ini 52 peratus pegangan dalam Metalysis Malaysia dimiliki Metalysis Ltd dari United Kingdom manakala 24 peratus lagi oleh Rolls-Royce Plc.
Baki 24 peratus lagi, katanya, ditawarkan kepada pelabur tempatan.
Beliau berkata, kerajaan sedang berbincang dengan 10 syarikat tempatan termasuk beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk melabur dalam projek pengeluaran tantalum itu.
Sumber: Berita Harian |
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|