|
 |
 |
 |
 |
 |
| NEWS HIGHLIGHTS |
 |
 |
KHTP Wujud Tapak PKS |
Monday, September 26, 2005 |
 |
 |
Oleh: Azli Ayob
KULIM Technology Park Corporation Bhd memperuntukkan kawasan seluas 20 hektar di taman perindustrian Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di Kulim, Kedah, bagi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kawasan berkenaan yang dijangka beroperasi suku keempat tahun depan, menyediakan lot industri khas untuk PKS tempatan akan memesatkan pembangunan taman perindustrian itu.
Ketua Eksekutif Kumpulan KHTP, Datuk Ahmad Shukri Tajuddin (gambar), berkata kewujudan industri bersaiz lebih kecil di Kulim Hi-Tech Park akan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada kilang elektronik lebih besar yang sudah beroperasi di situ.
“Taman perindustrian PKS yang serba lengkap ini membolehkan syarikat tempatan turut mengambil bahagian dalam kemajuan Kulim Hi-Tech Park bersama-sama syarikat multinasional (MNC) asing,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KHTP diwujudkan sebagai taman teknologi yang mana syarikat berorientasi teknologi tinggi dapat menggunakannya bagi pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta kegiatan pengeluaran canggih.
Kewujudan kegiatan pengeluaran teknologi tinggi itu juga diharap bukan saja mewujudkan peluang pekerjaan tetapi menzahirkan industri sokongan membabitkan syarikat tempatan untuk menyokong firma besar di situ.
Ahmad Shukri berkata, pembukaan taman perindustrian PKS itu juga memberi peluang kepada PKS tempatan menjalin hubungan perniagaan dengan MNC asing yang sudah stabil.
Beliau berkata, antara bentuk perniagaan yang boleh dijalankan di kawasan itu termasuk logistik, pembekalan bahan industri atau menyediakan perkhidmatan mengitar semula.
Katanya, KHTP menyediakan unit kilang siap sedia untuk disewakan kepada syarikat PKS tempatan yang berminat beroperasi di Kulim supaya mereka dapat turut menikmati manfaat daripada pembangunan di kawasan perindustrian itu.
“Mengenai lot industri pula, sudah ada pihak yang bertanyakan mengenainya untuk industri sesuai,” katanya.
Ahmad Shukri berkata, syarikat yang beroperasi di Kulim Hi-Tech Park akan menikmati kemudahan prasarana seperti kemudahan jalan baik serta perkhidmatan bekalan elektrik, air, telekomunikasi dan teknologi maklumat (IT) terkini.
Kemudahan lain yang tersedia termasuk kawasan perumahan dan komersial, katanya.
Antara syarikat multinasional terkenal yang beroperasi di taman perindustrian itu ialah Intel, Silterra, AIC Semiconductor, Fuji Electric dan Celestica.
Sumber: Berita Harian Online |
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|