|
 |
 |
 |
 |
 |
| NEWS HIGHLIGHTS |
 |
 |
Intel mahu majukan lagi kilang Kulim |
Tuesday, July 12, 2005 |
 |
 |
Oleh Wan Najib Wan Daud
PULAU PINANG 10 Julai - Intel Technology Sdn. Bhd. (Intel) merancang untuk menjadikan kilang pengeluarannya di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) sebagai antara yang terpenting dalam operasinya di negara ini.
Pengarah Urusan Intel, KC Yoon berkata, syarikat itu mahu membangunkan kilangnya di KHTP sehingga mampu bersaing dengan kilang induknya di Pulau Pinang.
''Selama ini ramai yang tidak tahu kewujudan kilang di Kulim yang sama tahap pengeluarannya (dengan kilang induk) cuma ia ditumpukan kepada komponen-komponen tertentu sahaja,' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.
Operasi Intel di Kulim bermula pada November 1996, merangkumi 2,400 pekerja dengan dua bangunan utama iaitu KM1 dan KM2 dan sebuah bangunan baru KM3 yang sedang dibangunkan dan dijangka beroperasi pada Mac 2006.
Ketika Pulau Pinang kini dihimpit dengan kekurangan tanah untuk membesarkan operasi, Intel memilih Kulim untuk dijadikan pusat reka bentuk papan induk bagi sistem komputernya.
Intel, pengeluar cip terbesar dunia yang beribu pejabat di Santa Clara, California, mempunyai kira-kira 8,000 pekerja di Malaysia.
Ia mengendalikan dua kilang pengeluaran di Pulau Pinang dan Kulim dan mempunyai sebuah pusat pembangunan perisian di Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menempatkan kira-kira 30 orang jurutera.
Pelaburan di KHTP merupakan salah satu pelaburan strategik untuk Intel, bukan sahaja untuk mempromosi KHTP di mata dunia tetapi untuk menarik lebih banyak pemain industri tempatan dan antarabangsa melabur di situ.
KHTP menerima pelaburan luarnya yang pertama dari Intel dan bermula dari situ, ia berkembang maju dengan menerima pelaburan lebih RM12 bilion antara tahun 1995 hingga 2000.
Menurut Yoon, Malaysia akan terus bertapak kukuh di dalam operasi Intel Corporation walaupun terdapat persaingan sengit dari negara-negara berkos rendah yang lain seperti China, India dan Rusia.
Ditanya sama ada Malaysia akan terus menjadi pilihan Intel, beliau berkata: ''Sudah tentu! Lihatlah sahaja pada jumlah pekerja yang kami ada di Malaysia.
''Kami mempunyai lebih ramai pekerja di Malaysia berbanding di Lembah Silikon Amerika Syarikat.'
Ketika syarikat-syarikat multinasional berlumba-lumba mengalih pelaburan mereka dari negara ini ke China, Intel tetap dengan komitmennya terhadap negara ini, tambahnya.
Malah kata Yoon lagi, Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Datuk Craig R. Barret, masih melawat Malaysia setiap tahun bagi memastikan perniagaannya di negara ini sentiasa berkembang.
Barret yang melawat Malaysia secara berterusan sejak 30 tahun lepas merupakan antara tokoh luar yang banyak membantu Malaysia terutama Pulau Pinang beralih dari era pertanian kepada perindustrian.
Malah, salah seorang pengasas syarikat tersebut, Andy Grove, terkenal dengan sekeping gambarnya yang menyingsing seluar di dalam sawah padi di kawasan Bayan Lepas ketika melawat tapak kilang Intel di negeri ini kira-kira 30 tahun lepas.
Sejak 1972, syarikat dari Amerika Syarikat itu telah melabur kira-kira AS$2.3 bilion (RM8.74b) di negara ini dengan mempunyai kira-kira 8,000 pekerja.
Sumber: Utusan Malaysia, 11 Julai 2005 |
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|