|  home  |  sitemap  |  contact  |  intranet  |
ARTICLES
KEDAH BAKAL TERIMA PELABURAN RM12B
Oleh DALIZA ARIFFIN

SINTOK 21 Jan. - Dua buah syarikat dari Amerika Syarikat (AS) dijangka melabur lebih daripada RM12 bilion untuk membangunkan kilang pembuatan fabrikasi wafer di Kedah tidak lama lagi.

Ketua Eksekutif Kulim Technology Park Corporation, Datuk Ahmad Shukri Tajuddin berkata, projek pelaburan itu sedang dibincangkan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia.

Katanya, syarikat berkenaan diharap akan beroperasi di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) sebagai usaha untuk meningkatkan lebih banyak pelaburan asing ke negeri ini.

''Memandangkan kedua-dua syarikat dari Amerika Syarikat ini telah pun beroperasi di Malaysia, kita bercadang untuk menarik pelaburan baru mereka itu ke KHTP,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Sektor Industri dan Pencapaiannya pada Konvensyen Kedah Maju 2010 peringkat Universiti Utara Malaysia, di sini.

Baru-baru ini, sebuah syarikat fabrikasi wafer, Infineon Technologies dari Jerman telah membuat keputusan untuk melabur 1 bilion euro (RM4.95 bilion) untuk membina kilangnya di Kulim, pada tahun depan.

Pelaburan

Pada masa ini, sebuah syarikat fabrikasi wafer, Silterra Malaysia Sdn. Bhd. sudah pun beroperasi di KHTP dengan nilai pelaburan sebanyak RM5 bilion.

Menurut Ahmad Shukri, sehingga kini KHTP berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM15 bilion termasuk dari syarikat-syarikat besar seperti Intel Products (M) Sdn. Bhd., Celestica (M) Sdn. Bhd. dan Fuji Electric (M) Sdn. Bhd.

Selain itu, katanya, sebagai usaha untuk membangunkan industri di Kedah, kerajaan negeri perlu mewujudkan zon-zon khas untuk pelbagai sektor bagi menarik lebih ramai pelabur asing dan tempatan melabur di sini.

Jelas beliau, sebagai contoh KHTP telah terkenal di mata dunia kerana ia merupakan pusat pelaburan bagi syarikat berteknologi tinggi dari seluruh negara.

Sehubungan itu, Ahmad Shukri menyarankan agar Gurun juga diperkenalkan sebagai zon perindustrian automotif kerana pelbagai syarikat permotoran seperti Modenas, Naza Automotive Manufacturing Sdn. Bhd. dan syarikat-syarikat vendor berkaitan telah pun beroperasi di situ.

''Gurun perlu dipromosikan dengan lebih agresif sebagai zon perindustrian kerana sudah ada syarikat melabur dalam bidang itu di situ.

''Ia juga mampu menampung lebih banyak syarikat dalam sektor tersebut memandangkan infrastrukturnya sudah lengkap,'' katanya lagi.

http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

 
OTHER ARTICLES
QFN 3D Stacked Die - Collaboration with UKM, UM Sirim and AIC
Kulim Hi-Tech Park sets aside 12ha for SMI Park
Site Selection September 2007 Edition
Infineon charts new power path in Asia
Net Value: Infineon fillip for Kedah
Kulim Hi-tech Park Increasingly Being Recognised By MNCs
Kulim Hi-Tech Park now MSC Cybercity
The World Comes to Kulim